Monday, January 18, 2010

Tokoh Kegemaranku

BELASUNGKAWA DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL (1949-2008)
PPAT KEHILANGAN PEMIMPIN DISEGANI

Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tokoh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.

Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.

Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.

Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dalam bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif. Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

PERGINYA SEORANG TOKOH TEATER

Datuk Haji Razali Ismail kini sudah pergi buat selama-lamanya. Ketika hayatnya, beliau dianggap sebagai tokoh teater yang mementingkan asas pendidikan. Teater yang dibawanya berbaur pendidikan dalam teater dan teater dalam pendidikan.

Sewaktu beliau menjadi Setiausaha Perkumpulan Teater Terengganu (KUMPUTER) selepas mengambil alih daripada saya, beliau menggagas manifestasinya. Melaui Manifestasi 111 pada 1981, beliau mengutarakan Teater Sebagai Media Pendidikan.

Kata beliau, ”Keterampilan teater dan apresiasi seni harus bermula dari zaman kanak-kanak menerusi pendidikan formal dan tidak formal”.

Ekoran itu, manifestasi tersebut menghasilkan resolusi supaya ”teater dan pendidikan kebudayaan” dijadikan isi kandungan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Hal tersebut merupakan satu ketetapan untuk merealisasikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah.

Sewaktu berbual dengannya dua bulan sebelum beliau meninggal dunia pada Jumaat 28 November 2008 pukul 6.30 petang ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) Genting Highlands, beliau berhasrat untuk merealisasikan manifestasi dan resolusi 1981 itu dengan kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Beliau juga mahu saya dan Majlis Teater Negeri Terengganu mengumpulkan sebanyak mungkin penggiat teater, terutamanya penggiat teater Terengganu pada akhir 2008. Kami bersetuju. Beliau telah memberikan sedikit peruntukan untuk menjayakan program yang amat diminati itu. Kami berasa kehidupan teater Terengganu lebih kukuh, bertambah kuat, bertenaga dan bersemangat ketika beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu hinggalah beliau menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Ketika Persatuan Karya Negeri Terengganu (KARYA) meminta beliau merasmikan wacana teater: Pemikiran dalam Teks Drama Pentas Terengganu pada 28 April 2007 dan Majlis Pelancaran Pementasan Drama Janji Teja pada 19 Mei 2007, beliau amat bersungguh-sungguh untuk menghadirkan diri. Beliau datang dan memberikan ucapan yang kental dan bersemangat untuk orang-orang teater, orang sastera dan orang seni selain orang awam yang menghadiri majlis tersebut.

Teater sebagai satu media pendidikan tidak akan terlepas dalam setiap ucapannya mengenai teater. Dalam dua majlis itu juga disebutnya pada saya bahawa beliau sudah terdidik sebagai seorang pendidik. Daripada seorang guru, seorang pensyarah maktab, pengetua maktab, pengarah pelajaran, pengarah bahagian pendidikan di Kementerian Pelajaran sehinggalah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Perdana Menteri sewaktu memberikan ulasan dan pandangannya tentang kematian Datuk Razali itu ada menyebut, ”Saya menaruh harapan supaya suatu hari nanti Allahyarham menjadi Menteri Pelajaran”. Saya percaya itu.

Saya percaya kuasa Allah. Pada pilihanraya 2004, beliau menang Ahli Perlimen Kuala Terengganu. Ketika beliau datang ke rumah saya pada malam keesokannya selepas pengumuman kemenangannya sebagai Ahli Perlimen, saya nyatakan kepadanya, ”Li, kamu bakal menjadi setiausaha perlimen atau Timbalan Menteri Pelajaran”.

Beliau akur akan perkara itu kerana namanya disebut-sebut untuk menjawat jawatan tersebut. Namun dua minggu selepas itu beliau beritahu saya bahawa Menteri Besar memberitahunya, namanya digugurkan daripada senarai.

Akhirnya perbualan saya dengan beliau benar-benar terjadi apabila selepas menang Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran. Menerusi kejayaannya, kedudukan teater, seni dan sastera menjadi bertambah kukuh untuk direalisasikan di sekolah. Beliau ada memberitahu saya akan hal itu sewaktu saya berkunjung ke pejabatnya di Putrajaya seawal beliau menduduki kerusi Timbalan Menteri Pelajaran. Beliau meminta saya supaya mengajak kawan-kawan datang ke pejabatnya. Biliknya sentiasa terbuka. Saya gembira mendengarnya.

Saya gembira kerana beliau masih lagi rapat dengan saya walaupun agak renggang sedikit sewaktu timbulnya ”Revolusi Istana” dalam Perkumpulan Terengganu akibat anasir dan virus yang cuba menyingkir saya dari KUMPUTER.

Razali tahu akan kedudukan saya yang sebenarnya kerana kami sama-sama membangun seni dan sastera sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, sekitar tahun 1967-1968. beliau memang hebat di sekolah-mengarang dan mengarah drama sekolah. Drama karya dan arahan beliau yang terkenal ialah Pendekar Tempang. Malahan, beliau telah berjaya menghasilkan skrip drama yang cukup tinggi teks sasteranya berjudul Dunia Dua dan Escapesiem.

Selain itu, kami dan teman-teman lain berjaya membangunkan Kesusasteraan Melayu Terengganu (KESUMA) selepas tamat sekolah menengah pada 1968. Kemudian, kami menguasakan pementasan drama berjudul Di Manakah Ku Cari Ganti pada awal 1970 sebelum beliau menyambung pelajarannya ke Universiti Malaya. Sekembalinya beliau dari Universiti Malaya, kami menubuhkan KUMPUTER pada 25 Oktober 1974 bertempat di Pantai Motel, Kuala Terengganu.

Melalui KUMPUTER, kami megusahakan skrip berjudul Layang-Layang Terbang Melayang. Skrip itu terhasil di rumah saya di Kampung Padang Hiliran, Kuala Terengganu ketika kami masih bujang. Ketika saya menaip, beliau mencari idea, ketika beliau menaip, saya mencari idea, hingga terhasil skrip tersebut dan akhirnya dipentaskan pada Februari 1975.

Sewaktu dalam KUMPUTER, kami bersama-sama dengan Wan Hanafi Su dan Mohd. Ali Taha telah menghasilkan cerita pentas yang berunsur ritual. Antaranya ialah Selayut (karya Mohd. Ali Taha), Ancak (karya Wan Hanafi Su) dan Ambooiii (karya Wan Ahmad Ismail).

Melalui pengalaman tersebut, beliau berjaya menggarap drama berjudul Nyoyang. Nyoyang menjadi karya agung beliau kerana berjaya dipentaskan lebih 30 kali, termasuk di Taman Ismail Marzuki, Indonesia pada 13-14 Januari 1983.

Sebagai seorang yang mementingkan disiplin, arahannya terserlah menerusi Wau Bulan. Banyak penggemar teater yang menganggap teater arahannya cukup mantap dan berwibawa. Malahan lakonannya cukup hebat ketika berlakon seorang diri (monolog) sebagai Sang Pengarang melalui drama berjudul Kosong.

Karya beliau banyak berlatarkan kehidupan kampung, permainan rakyat dan persembahan tradisional dan ritual seperti drama Awak Dayung Mak Yong, Kain, Paku Siah Paku Kecundang, Rohaniku Bisu, Bisuku Rohani, Wau Bulan, Selayut dan banyak lagi.

Beliau meninggal dunia di gelanggang sukan dan bukan di pentas lakonan. Beliau meninggalkan kawan-kawan teater, meninggalkan isteri To’ Puan Nooraini Lob Yusoff dan lima orang anak yang setahu saya tidak seorang pun yang berminat dalam dunia seni sastera dan teater.

Banyak orang yang menganggap beliau satu-satunya warga pendidik yang amat prihatin terhadap dunia pendidikan. Beliau meninggalkan rakyat Kuala Terengganu yang beliau menjadi ahli parlimennya. Malahan semasa menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengambil berat akan kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Datuk Johan Jaafar melaui khidmat pesanan ringkasnya kepada saya menyatakan terima kasihnya kepada Datuk Razali kerana banyak membantunya di DBP. Selepas saya bersara, beliau mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar terdahulu supaya saya menduduki Akademi Seni Terengganu. Cadangannya tidak berjawab, bermakna kerajaan negeri menolaknya. Semuanya ketentuan Allah S.W.T.

Apa-apa pun, Datuk Razali Ismail meninggalkan kita dengan karyanya Ngoyang yang dianggap berhantu, di samping karya lain yang tidak kurang hebatnya. Beliau meninggalkan kesan ketika berlakon melalui drama Kosong dan memberikan input yang tajam ketika mengarah Wau Bulan. Beliau terjatuh ketika bermain badminton, bukan bermain drama.

DBP sepatutnya mengambil inisiatif untuk mengumpul dan mencetak kembali skrip drama pentasnya sebgai tanda ingatan kepada beliau.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

SEKITAR LAWATAN KERJA DATUK RAZALI
MENGHARUNGI CABARAN

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail membuktikan yang beliau sanggup mengharungi apa juga cabaran demi pendidikan dan kemajuan pelajar-pelajar di luar bandar.

Baru-baru ini (dari 8-13 Jun) beliau telah menjelajah ke sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dengan mengharungi jalan berbatu kerikil, sungai dan jeram, lurah dan bukit demi memastikan anak-anak di luar bandar mendapat pendidikan sempurna bagi memenuhi aspirasi nasional ke arah melahirkan insan berpendidikan.

Beliau bersama rombongan telah berjaya meninjau di enam buah sekolah di kawasan Pensiangan dan Salinatan dalam daerah Nabawan serta dua buah sekolah di Tawau iaitu Sekolah Kebangsaan Kalabakan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kalabakan.

Dengan kehadiran beliau itu memberi semangat baru kepada pendidik dan para pelajar dalam misi menyemarakkan dan memajukan pendidikan terutama di kalangan para pelajar luar bandar.

Bagi Datuk Razali sendiri, lawatannya itu memberi peluang kepadanya untuk mengetahui sendiri masalah yang dihadapi pelajar-pelajar dan guru-guru sekolah-sekolah di luar bandar.

Semasa menjawat jawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru pada tahun 2003 beliau pernah melakukan lawatan serupa dan lawatan kali kedua ini menambah keyakinan penduduk tempatan terhadap pelaksanaan rancangan pembangunan pendidikan di kawasan yang kemiskinannya paling tinggi di Sabah.

Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa pendidikan, Datuk Razali Ismail tidak mahu hanya pandai mengeluarkan teori-teori atau cakap-cakap sahaja malah sanggup merentasi apa sahaja cabaran untuk melihat sendiri kesusahan dan masalah yang dihadapi oleh warga pendidik dan penduduk di kawasan luar bandar yang menghadapi masalah kemiskinan tegar.

Dengan strategi ini pelajar-pelajar di pedalaman tidaklah terasa terpinggir atau tersisih dari perhatian para pemimpin mereka.

Mereka juga perlu memperolehi atau mengecapi nikmat pendidikan berkualiti kerana ”Pendidikan Adalah Untuk Semua, tiada anak yang dipinggirkan”. Begitulah motto yang sentiasa dipegang oleh Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang sentiasa memberi perhatian berat terhadap pendidikan anak bangsa.

Dalam ucapannya di mana sahaja, Datuk Razali sentiasa menegaskan bahawa tiada warga yang dinafikan haknya untuk mendapatkan peluang pendidikan yang berkualiti.

Menteri Pelajaran Datuk Hishamuddin Tun Hussein menyokong penuh lawatan kerja yang dilakukan oleh Datuk Razali Ismail ke sekolah-sekolah di pedalaman itu.

Gerak kerja yang dilakukan ini sebagai usaha untuk memastikan pelan merapatkan jurang pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan dapat direalisasikan dengan jayanya.

Bercakap mengenai pembangunan pendidikan luar bandar Datuk Razali menegaskan, ”Apa yang membimbangkan kita ialah kita tidak menggunakan sepenuhnya sumber yang kita ada yang tidak terkira banyaknya”.

Beliau menggesa agar guru berani menghadapi cabaran mendidik pelajarnya dan masyarakat pula perlu berani membuat perubahan sikap demi kepentingan pendidikan anak bangsa mereka.

Usaha melahirkan pelajar cemerlang, katanya tidak tertumpu kepada para pelajar di bandar sahaja malah menembusi kawasan luar bandar dan pedalaman.

Jurang pendidikan akan kita kecilkan atau kalau dapat dihapuskan supaya setiap warganegara berpeluang mendapat pendidikan sempurna dan berkualiti,” tegasnya.

Datuk Razali juga menegaskan bahawa Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang konprehensif adalah landasan untuk melahirkan modal insan berkualiti seperti yang dicita-citakan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

0 comments: