Tuesday, January 19, 2010

Sekolah Kami



SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN WAKAF MEMPELAM (SKWM)

Sekolah Kebangsaan Wakaf mempelam dibina dan mula digunakan pada 14 April 1947 dengan 27 orang murid dan seorang guru. Sekolah tersebut dikenali sebagai sekolah rakyat. Namanya mengikut nama kampung di mana sekolah itu didirikan. Sekolah itu dibina di atas kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak mereka serta keselamatan kerana terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak 2 km dari kampung tersebut. Bangunan pertamanya itu cuma berukuran 20 x 40 m yang beratapkan nipah dan berlantaikan tanah tanpa dinding.

Sekolah itu di bina dengan kerjasama dan permuafakatan penduduk kampung persekitaran yang terdiri daripada tokoh-tokoh agama yang diketuai oleh seorang tokoh yang bergelar ‘Datuk Kamal Wangsa’. Beliau menyerahkan sebahagian daripada tanahnya untuk pembinaan sekolah tersebut. Sekolah itu diuruskan sendiri oleh penduduk kampung tersebut. Pada 12 Ogos 1950, sekolah itu diserahkan kepada pemerintah dan namanya ditukar kepada Sekolah Melayu. Mulai tarikh tersebut, sekolah itu dikelolai oleh Lembaga Jemaah Pengurusan yang dilantik oleh kerajaan.

Pada tahun 1953, bangunan asal dirobohkan kerana pembinaan tali air untuk kegunaan sawah padi. Walau bagaimanapun bangunan baru dibina semula berhampiran tapak asal dan ianya terus digunakan sehingga tahun 1959. Pada tahun 1959, bangunan sekolah itu roboh kerana dipukul rebut. Bangunan baru serta merta dibina dan ianya lebih besar memandangkan bertambahnya bilangan pelajar. Pada masa itu ia dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam sebagaimana sekarang.

Selepas merdeka, bangunan sekolah bertukar wajah mengikut perkembangan semasa. Bangunan kekal 2 tingkat mula dibina pada tahun 1971 dan sebuah lagi dibina pada tahun 1984 yang juga 2 tingkat memandangkan bangunan sementara ‘Projek Gotong-Royong PIBG’ sebanyak 3 bilik darjah yang dibina pada tahun 1974 tidak dapat menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat. Pada tahun 1994, sebuah lagi bangunan 4 tingkat dibina manakala bangunan ‘Projek Gotong-Royong PIBG’ dirobohkan.Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam telah berusia setengah abad.

Dalam tempoh itu , pusat pendidikan ini sudah pasti telah melahirkan ramai insan-insan yang berjaya dan tokoh-tokoh yang terkemuka dan dikenali. Bagi sekolah ini, tokoh terkenal bagi golongan pendidik adalah Pengarah Pendidikan Negeri yang mempunyai wawasan yang tinggi sebagai teladan untuk murid sekolah ini mencapai kecemerlangan.

0 comments: