Monday, January 18, 2010

Tempat Bersejarah


MUZIUM TERENGGANU

Muzium Terengganu telah dirasmikan pada 20 April 1996 bersamaan 2 Zulhijjah 1416 oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu. Meliputi kawasan seluas 27 hektar, kompleks ini mempunyai keluasan lantai keseluruhan berjumlah 75,075 meter persegi. Terdiri dari 4 blok bangunan Muzium Utama, kompleks ini juga mempunyai Muzium Maritim, 5 buah rumah tradisional serta kawasan landskap. Antara galeri yang terdapat di bangunan utama ialah Galeri Islam, Galeri Tekstil, Galeri DiRaja, Galeri Sejarah, Galeri Kraf, Galeri Petroleum, Galeri Ilmu Kejadian. Di Muzium Maritim pula terdapat 2 Galeri iaitu Galeri Perikanan dan Taman Laut serta Galeri Pelayaran dan Perdagangan.

GALERI ILMU KEJADIAN

Galeri ini memaparkan pelbagai jenis sumber alam yang terdiri dari fauna, flora, batu batan dan galian terdapat di Terengganu serta kepentingannya dengan kehidupan manusia.

GALERI SEJARAH

Tamadun manusia bermula di sini, perkembangannya dari zaman prasejarah, zaman logam hingga ke zaman proto sejarah. Pelbagai peristiwa digambarkan. Tokoh-tokoh terbilang turut dipamerkan bersama dengan perkembangan dan kemajuan negeri Terengganu. Jangan lepaskan peluang untuk melawat galeri ini.

GALERI TEKSTIL

Galeri ini memaparkan sejarah, proses penghasilan perkembangan serta jenis-jenis rekstil yang bdihasilkan seperti Songket, Limar, Batik, Pelangi, Cindai, Gerus dan Telepuk. Pelbagai jenis busana tradisional juga dipamerkan, termasuk pakaian harian dan upacara seperti perkahwinan, berkhatan dan banyak lagi.

GALERI PETROLEUM

Industri petroleum merupakan sumber ekonomi negeri yang penting. Dengan melawat galeri ini, anda diberi peluang menerokai dan mempelajari tentang sejarah dan perkembangan industri minyak di Malaysia yang dipaparkan dengan begitu menarik sekali.













GALERI KRAF

Tempat yang sungguh begitu menarik untuk menghayati kehalusan kerja dan kesenian teknologi tradisional yang menghasilkan pelbagai barangan kraftangan. Keindahan tikar yang dianyam, barangan tembaga, emas dan perak tentunya memikat perhatian anda. Saksikan juga keunikan senjata tradisional seperti Keris, Lawi Ayam, Kuku Harimau, Sundang yang mencerminkan kemahiran dan kehebatan tukang besi zaman dahulu. Senjata-senjata ini digunakan untuk mempertahankan diri, sebagai lambang kebesaran dan keagungan.

GALERI PERIKANAN & TAMAN LAUT

Di galeri ini, anda dapat menikmati suasana nyaman dan merasa ketenteraman sebuah perkampungan nelayan disamping dapat melihat berbagai-bagai jenis peralatan menangkap ikan dan perahu-perahu yang digunakan oleh penduduk di Terengganu.

GALERI PELAYARAN & PERDAGANGAN

Dengan layar-layarnya dikembangkan, perahu-perahu besar bergerak laju ditiup angin merentasi lautan, seterusnya membuka jalan-jalan dagangan dan perniagaan baru di antara negara-negara. Adalah sungguh mengkagumkan melihat perahu-perahu besar ini yang dibina sepenuhnya dengan tangan dan menggunakan teknologi tradisional. Dipamerkan juga pelbagai peralatan tradisional yang digunakan untuk membina sesebuah perahu.

GALERI ISLAM

Penemuan Batu Bersurat Terengganu menjadi bukti penyebaran Islam dan bermulanya tulisan Jawi di nusantara. Banyak lagi artifak-artifak Islam yang dipamerkan untuk diterokai.

GALERI DIRAJA

Turut dipamerkan bersama dengan alat-alat kebesaran DiRaja, Bekas Bara, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran dari dalam dan luar negara.











SEJARAH RINGKAS MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Muzium Negeri Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Enakmen Bil. Tahun 1976. Penubuhan ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976 dan mula berkuatkuasa pada 1 November 1977.

Daripada segi rentetan sejarahnya, hasrat dan cita-cita untuk menubuhkan Muzium Negeri ini tercetus sejak awal tahun 1920 an lagi natijah daripada peristiwa perjumpaan Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed Hussein Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902. Peristiwa penemuan Batu Bersurat yang bersejarah ini telah melahirkan rasa kegembiraan dan rasa kesyukuran seluruh rakyat Negeri Terengganu pada waktu itu. Namun, masalah timbul kerana ketidaan tempat untuk menyimpan batu bersejarah ini. Keadaan ini telah mencabar dan menyedarkan pimpinan negeri ketika itu betapa pentingnya negeri ini mempunyai muzium sendiri.

Ekoran daripada itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah tiada pilihan selain memperkenankan Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Menteri Besar Terengganu pada masa itu Dato’ Haji Mohd bin Yusof telah bersetuju dengan srat jawapan daripada Penasihat British yang berbunyi:

”Maka apakala diadakan Muzium di dalam Terengganu kelak ataupun tempat lain yang munasabah bolehlah kerajaan mengambil balik pula pada bila-bila masa yang dikehendaki adanya.”

Berikutan itu, kesedaran serta semangat untuk mempunyai Muzium sendiri semakin memuncak. Pada tahun 1955, Y.A.B. Dato’Menteri Besar, Dato’ Haji Kamaruddin bin Haji Idris (Menteri Besar Terengganu ketika itu), telah menubuhkan satu jawatankuasa serta membayangkan hasrat untuk mewujudkan Muzium di negeri Terengganu. Jawatankuasa ini telah dianggotai oleh Y.B.M. Engku Pengiran Anom, Haji Mohd. Salleh bin Haji Awang, Cikgu Muhamad Akil bin Atan serta Haji Wan Endut bin Othman. Peranan utama jawatankuasa ini ialah untuk mengumpul dan memperolehi barang-barang lama dan bersejarah. Namun begitu, perjalanan jawatankuasa ini terbantut kerana masalah kewangan dan perutukan undang-undang.

Kesinambungan daripada itu, pada 14 Januari 1960, Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Andika Indera, Encik Ishak bin Mohd Isa telah membuat satu perjumpaan dan hasilnya, satu persetujuan dicapai sebulat suara untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali dengan nama Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Peringkat Negeri. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala Allahyarham Dato’ Setia Jasa (Dato’ Haji Mohd. Salleh bin Haji Awang) berperanan sebagai setiausaha. Serentak dengan itu, satu peruntukan telah diwujudkan di bawah kelolaan Jabatan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membeli barang dan koleksi warisan sejarah serta budaya negeri Terengganu. Kerja-kerja pengumpulan barang dan koleksi mula digiatkan mulai Julai 1960 dan ianya telah ditempatkan di dalam sebuah almari di satu sudut khas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu.

Perkembangan yang positif ini telah mengorak langkah yang lebih luas lagi dan hasrat untuk mempunyai Muzium sendiri semakin mendapat perhatian dan sokongan Kerajaan Negeri. Pada 3 Februari 1974, sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Wira Jaya, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu. Dengan pembentukan jawatankuasa ini, hasrat untuk menubuhkan Muzium Negeri mula menampakkan bibit-bibit kejayaan khususnya apabila termaktubnya Enakmen Lembaga Muzium Negeri Terengganu (Enakmen Bil. 9/1976).

Pentadbiran Muzium Negeri terletak di bawah kuasa Bahagian Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Pada tahun 1979, kerja-kerja pengumpulan dan perolehan barang-barang lama dan bersejarah diteruskan dengan lebih giat. Operasi dan fungsi muzium terus diperluaskan. Pada waktu itu, dua orang tokoh yang memainkan peranan yang penting di dalam mengemudi perkembangan dan kemajuan Muzium Negeri ialah Allahyarham Dato’ Setia Jasa (Dato’ Haji Mohd. Salleh bin Awang) dan Tuan Haji Othman bin Haji Ali. Kerja-kerja penyelidikan, galicari dan pemuliharaan bangunan lama yang bersejarah telahpun dimulakan.

Era tahun 1980 an telah meningkatkan lagi perkembangan Muzium Negeri. Pada tahun 1981, seorang kurator telah dilantik untuk menerajui Muzium Negeri. Manakala menjelang tahun 1985, jawatan ini telah ditingkatkan kepada jawatan Pengarah.

Pada bulan April 1994, sekali lagi berlaku perubahan yang menarik di dalam Muzium Negeri. Ini kerana segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pameran telah berpindah ke rumah baru iaitu Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang terletak di kawasan seluas 27 hektar di Kg. Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu.

0 comments: